Mar 19, 2014

HADITS: PUASA SYA'BAN



Hadits A:
Berkata A‘isyah radiallahu ‘anha:     
Dan tiadalah aku melihat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam berpuasa tepat sebulan penuh kecuali Ramadhan. Dan tiadalah aku lihat dia dalam satu bulan banyak berpuasa (kecuali dalam bulan) Sya’ban.[55].
Hadits B:
Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam:
Apabila tiba pertengahan Sya’ban, maka janganlah kalian berpuasa.[56]
Hadits A dan B jelas bertentangan, di mana dalam Hadits A diterangkan bahwa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam banyak berpuasa dalam bulan Sya’ban manakala dalam Hadits B, Rasulullah melarang seseorang dari berpuasa setelah pertengahan bulan Sya’ban.
Walau bagaimanapun Hadits A bertaraf sahih manakala Hadits B bertaraf dhaif. Maka diambil Hadits A dan diketepikan Hadits B.
  Terdapat banyak lagi hadits-hadits yang menerangkan bahwa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam berpuasa di bulan Sya’ban, malah beliau menyambung terus puasanya sehingga ke bulan Ramadhan. Maka sangat dianjurkan juga bagi kita untuk mengikuti sunnah yang mulia ini. Hadits B di atas tidaklah melarang seseorang itu untuk berpuasa penuh di bulan Sya’ban. Berkata al-Syaukan.[57]
Berkata jumhur ulama’, dibolehkan berpuasa sunnah selepas Nisfu (pertengahan) Sya’ban karena hadits yang melarang dari berbuat sedemikian adalah dhaif.[58]
Penjelasan Tambahan:
           Puasa di bulan Sya’ban adalah sunnah manakala puasa di bulan Ramadhan adalah wajib. Maka hendaklah seseorang yang ingin berpuasa di bulan Sya’ban memerhatikan kesehatan dirinya agar tidak mengurangikesempurnaan puasa Ramadhannya.
Lebih dari itu, keafdhalan bulan Ramadhan adalah jauh lebih mulia dari keafdhalan bulan Sya’ban, maka hendaklah seseorang itu beristiqamah dalam beramal dengan mengutamakan amalan di bulan Ramadhan. Janganlah terlalu tinggi bersemangat untuk beramal di bulan Sya’ban sehingga apabila tiba bulan Ramadhan, semangat tersebut jatuh ke tahap yang minimum, yang akhirnya diterjemahkan kepada amalan tidur sepanjang hari.
Perlu diingatkan bahwa kadar kesungguhan untuk beramal adalah sesuatu yang berubah-ubah dari masa ke masa bagi setiap individu. Adakalanya ia tinggi dan adakalanya ia rendah. Ia akan naik ke satu tahap yang tinggi dan kemudian turun ke satu tahap rendah, kemudian akan naik semula dan turun semula. Makin tinggi ia diangkat maka makin rendah ia akan jatuh apabila berada di kadar rendahnya. Maka hendaklah seseorang itu memerhatikan kadar kesungguhan masing-masing. Kadar yang paling optimum ialah yang sederhana tetapi berkekalan, yaitu istiqamah.
Ingin juga ditambah, bahwa tidak terdapat sebarang hadits yang sahih yang menerangkan bahwa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam berpuasa atau menganjurkan puasa di bulan Rajab. Memang diketahui bahwa terdapat banyak hadits-hadits yang menganjurkan puasa di bulan Rajab bersama keutamaannya, namun semua hadits-hadits tersebut adalah sangat dhaif dan palsu. Maka tinggalkanlah ia.
Jika hendak beramal, beramallah berdasarkan apa yang ditetapkan oleh hadits-hadits yang sahih lagi benar. Hadits yang dhaif boleh digunakan untuk menerangkan keutamaan beramal hanya apabila amalan tersebut telah ditetapkan oleh hadits yang sahih. Hadits yang dhaif tidak boleh digunakan untuk menetapkan atau mewujudkan sesuatu amalan.
             Jika seseorang itu hendak beramal dan dia dapati sudah tiada lagi amalan yang hendak dilakukan, maka hendaklah dia merubah kepada amal yang bermanfaat bagi umat Islam. Rata-rata kita dapati umat Islam hanya suka beramal untuk kepentingan diri mereka sendiri, sedikit sekali yang mahu beramal untuk kepentingan umat Islam seluruhnya. Ramai umat Islam yang rajin sholat sunnah, berpuasa sunnah, berumrah berulang kali dan sebagainya, sehingga ada yang mencipta dan menambah-nambah sesuatu amal ibadah yang tidak wujud pada asalnya. Akan tetapi sedikit sekali umat Islam yang mau menegakkan amar ma‘aruf nahi mungkar, berdakwah, menyertai badan-badan kebajikan, menjadi  sukarelawan dalam mana-mana projek kemasyarakatan dan berbagai lagi yang melibatkan kepentingan ramai.
Marilah kita mengubah manhaj dan sikap kita dalam beramal. Beramallah untuk kepentingan umat Islam di samping kepentingan diri sendiri. Bukankah sesuatu amalan yang manfaatnya adalah untuk orang ramai adalah jauh lebih besar dan berpanjangan ganjarannya ?
***
[55] Sahih: Sebagian hadits dari ‘A‘isyah radiallahu ‘anha, dikeluarkan oleh Ahmad, Muslim dan al-Firyabi (al-Siyam), juga al-Nasa’i (al-Sunan al-Kubra) dengan lafaz yang sedikit berbeza, lihat Sahih Muslim – no: 1156-4 (Kitab Puasa, Bab Puasa Nabi SAW selain Ramadhan.........).               
[56]Dhaif: Hadits dari Abu Hurairah radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh ‘Abd al-Razzaq (7325), Ibn Abi Syaibah (9026), Ahmad (9668), al-Darimi (1781), Abu Daud (2237), al-Tirmizi (735), Ibn Majah (1651), al-Nasa’i (al-Sunan al-Kubra – no: 2911), al-Tohawi (Syarh Ma‘ani al-Athar – no: 3243), Ibn Hibban (3589), al-Baihaqi (7961) dan al-Khatib al-Baghdadi (Tarikh al-Baghdad, jld 8, ms 47), di atas adalah dengan lafaz Abu Daud, semuanya melalui jalan al-‘Alaa’, dari ayahnya, dari Abu Hurairah.
Status hadits ini diperselisihkan, dengan sebahagian menguatkannya manakala sebahagian lain melemahkannya. Kecenderungan kepada penilaian kedua karena sebab-sebab berikut:
1.     al-‘Alaa’, nama penuhnya ialah al-‘Alaa’ bin ‘Abd al-Rahman bin Ya’kub al-Madani, seorang yang diterima di sisi kebanyakan ahli hadits, malah merupakan salah seorang perawi Sahih Muslim. Kecuali di sisi Yahya bin Ma’in, di mana beliau berkata: Haditsnya tidak dapat dijadikan hujah. (al-Mizzi – Tahzib al-Kamal – perawi no: 4577) manakala dalam satu riwayat lain beliau berkata: Haditsnya bercampur aduk (al-‘Uqaili – al-Dhu‘afa’ al-Kabir – perawi no: 1369).
2.    Maksud hadits yang tidak sejalan dengan lain-lain hadits yang sahih dalam bab ini, yang menerangkan bahwa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam berpuasa secara berterusan sehingga ke bulan Ramadhan. Justeru berkata Ahmad bin Hanbal sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Daud: Hadits ini mungkar (al-Baihaqi – al-Sunan al-Kubra, jld 4, ms 353). Beliau juga berkata sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Nasai: al-‘Alaa’ bin ‘Abd al-Rahman thiqah, tidak diingkari hadits-haditsnya kecuali yang ini. (dinukil oleh al-Nawawi dalam Majmu Syarh al-Muhazzab, jld 6, ms 292). Berkata al-Dzahabi: Tidaklah turun hadits (yang diriwayatkannya) dari darjat hasan, akan tetapi disisihkan apa yang bertentangan darinya (Siyar A’lam al-Nubala, jld 6, ms 187).
             Sifat Tsiqah al-‘Alaa’ bin ‘Abd al-Rahman hanya dapat digunakan apabila beliau meriwayatkan sebuah hadits yang sejalan dengan hadits-hadits lain yang sahih. Dalam Hadits B di atas, ia nampaknya berasingan (tafarrud) dari pelbagai hadits-hadits lain yang sahih. Hal ini sebagaimana yang dimaksudkan oleh Ahmad apabila beliau berkata Hadits ini mungkar, di mana definisi mungkar yang dimaksudkan beliau ialah hadits yang berasingan dari lain-lain hadits yang sahih. Kedudukan al-‘Alaa’ sebagai salah seorang perawi Sahih Muslim tidaklah secara automatik menjadikan semua hadits-hadits yang diriwayatkan olehnya menjadi sahih. Perlu dibedakan antara perawi Sahih Muslim dan hadits Sahih Muslim di mana yang pertama hanya merujuk kepada kedudukan beliau sebagai seorang perawi manakala yang kedua merujuk kepada hadits-hadits yang dibawanya. Karena itu kita dapati Imam Muslim tidak memasukkan hadits ini di dalam kitab Sahihnya. Berkata al-Suyuti dalam Syarh Tadrib al-Rawi fi Syarh Taqrib al-Nawawi, ms 86: Hadits ini ditinggalkan oleh Muslim karena bersendiriannya al-‘Alaa’ padanya, dan ia seolah-olah membatalkan banyak hadits-hadits yang lain.
     Oleh itu hadits ini adalah dhaif, atau yang tepat ia adalah Hadits syadz, iaitu suatu hadits yang diriwayatkan oleh seorang perawi yang terpercaya (tsiqah) tetapi matan atau sanadnya menyalahi riwayat daripada perawi lain yang lebih kuat daripadanya.
         Perbandingkan dengan keterangan Syu‘aib al-Arna’uth dalam notakaki Siyar A’lam al-Nubala, jld 6, ms 187 dan Abu ‘Ashim Nabil bin Hashim al-Ghumari – Fath ul-Manan: Syarh wa Tahqiq al-Musnad al-Jamii’ al-Darimi, jld 7, ms 363-364.
[57] Beliau ialah Muhammad bin ‘Ali bin Muhammad al-Syaukani, seorang mujtahid Islam di kurun ke 13 Hijrah. Berasal dari Yaman, beliau dari awal telah mempelajari pelbagai ilmu-ilmu Islam sehingga akhirnya mendudukkan dirinya sebagai seorang mujtahid. Telah mengarang banyak risalah dan kitab dalam pelbagai jurusan Islam seperti aqidah, tafsir, fiqh, hadits,adab dan lain-lain. Meninggal dunia pada tahun 1250H, manakala ada juga riwayat yang menyebut 1252H dan 1255H.
[58] Nail al-Authar, jld 3, ms 243. Perbandingkan dengan keterangan al-Nawawi dalam al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, jld 6, ms 292-293.

No comments:

Post a Comment