Sudahkah
ditentukan apakah saya akan masuk syurga atau neraka? Jika sudah ditentukan,
apa manfaat saya beramal ibadah untuk mendapatkan balasan syurga?
Allah Subhanahu waTa’ala sebagai Tuhan yang Maha
Mengetahui sudah tentu mengetahui siapakah di antara hamba-Nya yang akan
menjadi ahli syurga dan ahli neraka. Akan tetapi kita sebagai manusia tidak
mengetahui apa yang diketahui oleh Allah. Maka dengan itu kita beramal ibadah
agar layak memasuki syurga.
Ini umpama sebuah sekolah yang ingin memilih olahragawan
untuk pertandingan olahraga antar sekolah. Murid-murid yang berminat diundang
hadir dalam sesi latihan dan pemilihan yang akan berlangsung selama sebulan,
dua minggu sekali. Murid-murid yang berminat menghadirkan diri pada sesi
pertama. Di antara mereka ada yang giat, disiplin mengikuti arahan pelatih dan fokus
kepada program latihan. Di antara mereka ada juga yang malas-malasan,
mengabaikan arahan pelatih, merokok sembunyi-sembunyi dan fokus untuk menarik
perhatian pelajar lain yang menonton. Sesi latihan dan pemilihan ini, tidak ada
paksaan. Masing-masing hadir atas pilihan sendiri dan membawa diri mengikuti
kehendak sendiri dengan harapan dapat mewakili sekolah.
Melihat usaha, disiplin dan fokus murid-murid tersebut,
pelatih sekolah dengan mudah sudah dapat mengetahui siapakah di antara mereka
yang akan terpilih mewakili sekolah. Sekalipun ia hanya dugaan pertama kali
saat sesi pertama, ilmu dan pengalamannya sudah cukup untuk membuat dia mengenal
siapakah yang akan mewakili sekolah.
Setelah sebulan, pertandingan olahraga di antara
murid-murid yang hadir sejak sesi pertama diadakan. Ternyata, murid-murid yang
diduga pelatih sejak sesi pertama mendapat tempat pertama, kedua dan ketiga
sehingga layak mewakili sekolah.
Maha Suci Allah dari sembarang perumpamaan dengan
makhluk-Nya. Pelatih tersebut umpama Allah yang mengetahui sejak azali
sementara murid-murid tersebut umpama manusia yang berusaha mengikuti pilihan
masing-masing. Sejak awal Allah sudah mengetahui siapakah yang layak memasuki
syurga sementara manusia tidak tahu. Maka setiap orang beramal dengan harapan
akan memasuki syurga. Ini sekadar perumpamaan. Tentu saja ilmu Allah serta
taqdir-Nya jauh lebih hebat dan sempurna.
Terhadap persoalan ini terdapat sebuah hadis di mana ‘Ali
bin Abi Thalib radhiallahu anh menerangkan:
Kami menghadiri satu pemakaman di perkuburan
al-Gharqad. Maka Rasulullah shallallahu ‘alaihi wassalam datang kepada kami
dan duduk, lalu kami turut duduk di sekitar baginda. Bersama baginda terdapat
sebatang kayu. Baginda menundukkan kepala dan mulai mencakar tanah dengan kayu
itu lalu bersabda:
“Tidak ada seorang jua dari kalangan kalian, tidak juga
dari kalangan jiwa yang bernafas kecuali Allah telah menulis tempat duduknya
apakah syurga atau neraka dan Allah telah menulis kesengsaraan atau
kebahagiaannya.”
‘Ali berkata, seseorang bertanya: “Wahai Rasulullah!
Tidakkah dengan itu kami berserah ke atas apa yang ditetapkan ke atas kami dan
meninggalkan amalan kami?”
Rasulullah menjawab: “Siapa yang tergolong dari kalangan
orang yang bahagia maka akan didorong ke arah amalan orang yang bahagia
sementara siapa yang tergolong dari kalangan orang yang sengsara maka akan
didorong ke arah amalan orang yang sengsara.”
Baginda meneruskan: “Beramallah! Maka setiap individu
akan dipermudahkan. Adapun orang yang bahagia maka akan dipermudahkan baginya
amalan orang yang bahagia. Adapun orang yang sengsara maka akan dipermudahkan
baginya amalan orang yang sengsara.”
Kemudian baginda membaca ayat: “Sesungguhnya
usaha kamu memang berbeda-beda. Adapun orang yang memberikan (hartanya di jalan
Allah) dan bertakwa, dan membenarkan adanya pahala yang terbaik (syurga), maka
Kami kelak akan menyiapkan baginya jalan yang mudah. Dan adapun orang-orang
yang bakhil dan merasa dirinya cukup serta mendustakan pahala terbaik, maka
kelak Kami akan menyiapkan baginya (jalan) yang sukar” (1)
Berdasarkan hadits di atas, Allah Subhanahu waTa’ala
telah menulis cara hidup seseorang apakah bahagia atau sengsara dan destinasi
akhir apakah syurga atau neraka. Penulisan ini merupakan salah satu dari
asas-asas qadar dan qadha, di mana Rasulullah shallallahu ‘alaihi wassalam
telah menerangkan:
Allah menulis segala taqdir makluk-makhluk-Nya lima
puluh ribu tahun sebelum Allah mencipta langit dan bumi. (Rasulullah juga
menerangkan) Dan Arasy berada di atas air. (2)
Adapun kita sebagai manusia, kita tidak tahu apa yang
Allah tuliskan berkenaan dengan kita. Maka tanggungjawab kita ialah tetap
beramal sebagaimana perintah Rasulullah: “Beramallah!”
Siapa yang memilih amal ma’aruf, maka dia akan mendapati
pelbagai ruang untuk menambah amal ma’aruf dan menemui orang-orang lain yang
turut memilih amal ma’aruf. Orang yang memilih untuk bersedekah umpamanya, akan
mendapati banyak peluang untuk terus bersedekah dan berkenalan serta bersahabat
dengan orang yang suka bersedekah dengan hartanya. Kehidupannya bahagia karena
dia tidak menjadikan harta sebagai tuhannya.
Sebaliknya siapa yang memilih kerja mungkar, maka dia
akan mendapati pelbagai ruang untuk menambah kerja mungkar dan menemui
orang-orang lain yang turut memilih kerja mungkar. Orang yang memilih untuk
minum arak umpamanya, akan mendapati banyak kelab malam untuk terus minum arak
dan berkenalan serta bersahabat dengan orang yang suka minum arak. Kehidupannya
sengsara karena minuman keras menjadikan dirinya kerap mabuk, dibuang kerja dan
ditinggalkan ahli keluarga.
Hakikat Allah sudah mengetahui dan menulis kebahagiaan
dan kesengsaraan, syurga dan neraka bagi setiap individu bukanlah alasan untuk
berserah kepada taqdir dan meninggalkan amalan. Perkara ini sudah ditanya lebih
1400 tahun yang lalu: “Wahai Rasulullah! Tidakkah dengan itu kita
berserah ke atas apa yang ditetapkan ke atas kami dan meninggalkan amalan
kami?” dan Rasulullah menjawab: “Beramallah! Maka setiap individu akan
dipermudahkan.” Artinya, beramallah dan setiap individu dimudahkan ke amalan
yang menjadi pilihannya.
***
(1)Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 4786 (Kitab al-Qadar, Bab penciptaan bayi dalam rahim ibu…). Ayat al-Qur’an yang dibacakan ialah al-Lail 92:4-10.
(1)Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 4786 (Kitab al-Qadar, Bab penciptaan bayi dalam rahim ibu…). Ayat al-Qur’an yang dibacakan ialah al-Lail 92:4-10.
(2)Sahih: Dikeluarkan oleh
Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 4797 (Kitab al-Qadar, Bab Musa dan
Adam berhujah)
No comments:
Post a Comment